Pahang Peruntuk RM300,000 Bantu 300 Mahasiswa Sambung Pengajian Ke Luar Negara

Komitmen Kerajaan Negeri Pahang dalam memperkasa pendidikan anak negeri diteruskan menerusi peruntukan RM300,000 tahun ini bagi membantu 300 pelajar melanjutkan pengajian ke luar negara.
Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, menyempurnakan penyampaian sumbangan kepada 122 pelajar menerusi tiga inisiatif pendidikan luar negara.

Menerusi Inisiatif Makmur Pahang Kluster Sumbangan Melanjutkan Pengajian ke Luar Negara Tahun 2026, seramai 118 pelajar yang melanjutkan pengajian ke Mesir, Jordan, Maghribi dan New Zealand menerima RM1,000 seorang.

Selain itu, seramai 20 pelajar menerusi Program KYP-Yarmouk Jordan menerima wang pendahuluan USD1,000 seorang bagi melanjutkan pengajian di Yarmouk University, Jordan.
Sementara itu, seramai 15 pelajar yang melanjutkan pengajian ke Maghribi turut menerima wang pendahuluan USD1,000 seorang menerusi Wang Pendahuluan Pelajar Pengajian ke Maghribi.
Kesemua pelajar berkenaan terdiri daripada beberapa institusi termasuk Maahad Tahfiz Turath Negeri Pahang (MTTNP), Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP), Kolej Yayasan Pahang (KYP), UCYP University, Universiti Al-Quran Al-Sultan Abdullah (UNIQSAAS) dan Jabatan Agama Islam Negeri Pahang (JAIP).

Sejak 2005, Yayasan Pahang (YP) telah membelanjakan sehingga RM94,000 bagi setiap seorang daripada 487 anak Pahang yang mengikuti pengajian di Yarmouk University, dengan 402 daripadanya telah menamatkan pengajian manakala 85 masih menuntut.

Bagi Universiti Al-Qarawiyyin pula, seramai 20 anak Pahang telah menerima biasiswa berjumlah RM40,000 seorang bagi tempoh empat tahun sejak 2023.

Inisiatif berkenaan mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Negeri dan YP dalam memperluas akses pendidikan antarabangsa kepada anak Pahang, sekali gus melahirkan generasi berilmu, berkemahiran dan berdaya saing yang mampu menyumbang kepada pembangunan negeri.

#Pahang1st #YayasanPahang #IMpahang #MemartabatkanMasyarakat

Lagi Berita

Komitmen Kerajaan Negeri Pahang dalam memperkasa pendidikan anak negeri diteruskan

Yayasan Pahang melalui anak syarikat milik penuhnya, YP Land Sdn.

Seramai 59 anak-anak Orang Asli dari Kuantan dan Bentong berkampung

Carian

  • Carian

  • Jenis Kandungan

  • Tarikh