Laman Utama | Amanat YAB Pengerusi
Amanat Yang Amat Berhormat Pengerusi Lembaga PENGARAH Yayasan Pahang
Bismillahirrahmannirrahim
Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera,
Setinggi-tinggi pujian ke hadrat Allah Subhanahu Wa Ta’ala Tuhan yang Maha Berkuasa serta selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W.
Menyaksikan perkembangan dan kemajuan Yayasan Pahang (YP) adalah sesuatu yang amat membanggakan. Sejak ditubuhkan 40 tahun lalu, pelbagai usaha telah dilakukan untuk memartabatkan masyarakat khususnya dalam bidang pendidikan tanpa henti. Begitupun YP dilihat membangun dengan pesat melalui perkembangan dan pencapaiannya dan syarikat kumpulan.
Usaha YP membangunkan anak bangsa dizahirkan melalui implikasi kewangannya. Sepanjang tempoh tersebut, sejumlah RM1.4 bilion dibelanjakan yang telah memberi manfaat kepada 1.63 juta anak-anak Pahang di pelbagai peringkat. Agenda back to basics, dengan misi tiada anak Pahang tercicir untuk mendapatkan pendidikan disebabkan kedaifan ekonomi: seterusnya berjaya mengubah mobiliti sosial keluarga menjadi fokus utama pada awal penubuhan YP.
Sebagai organisasi yang matang dan berkaliber, YP begitu responsif dengan keadaan semasa. Era pandemik dan situasi global memerlukan YP bergerak pantas menangani pelbagai isu. Dalam hal ini, golongan pelapis yang bakal mencorakkan masa depan negara iaitu belia dan graduan menjadi keutamaan.
Justeru, pendekatan baharu diwujudkan bagi memperkasa ekonomi golongan ini dengan menyediakan lebih banyak platform dan peluang untuk mereka terus maju. Jaminan kerjaya dan pelbagai latihan bidang kemahiran serta keusahawanan disediakan agar mereka terus berupaya menangani isu pengangguran di era pandemik ini. Tahniah saya ucapkan!
Saya yakin, YP sebagai sebuah organisasi yang berprestasi tinggi dengan tadbir urus yang baik mampu merealisasikan agenda Kerajaan Negeri Pahang bagi menghasilkan modal insan yang cemerlang hingga ke peringkat antarabangsa.
Akhir kata, sama-sama kita berdoa dan bekerjasama agar YP dapat meneruskan kecemerlangan memartabatkan masyarakat seterusnya membantu rakyat Pahang merealisasikan impian murni ini Sekian, wabillahi taufik wal hidayah, wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
YAB Dato’ Sri Diraja Wan Rosdy bin Wan Ismail
SDSA., SSAP., SUMW., DSAP., DIMP., SMP., AMP.,
Menteri Besar Pahang
Merangkap Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan Pahang