Laman Utama | Sejarah
Sejarah
Yayasan Pahang (YP) telah memulakan operasi pentadbiran pada tahun 1983 di Tingkat 19, Kompleks Teruntum, Kuantan Pahang. Manakala perasmiannya telah disempurnakan pada 29 September 1983 oleh Almarhum Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Ahmad Shah Ibni Al-Marhum Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Mu’adzam Shah, Yang di-Pertuan Agong pada ketika itu.
Misi utama penubuhan YP adalah untuk meningkatkan kemajuan pendidikan, sukan, kebudayaan dan memperluaskan peluang-peluang mendapat pendidikan di kalangan anak negeri dan warganegara Malaysia yang biasa menetap di negeri ini.
Penubuhan YP ini dengan sendirinya telah mengambil alih fungsi tiga badan utama yang ditugaskan untuk memberi bantuan pendidikan dan melihat kebajikan anak-anak Pahang ketika itu iaitu:
- Lembaga Biasiswa Pelajaran Tinggi Negeri Pahang yang mengendalikan pemberian biasiswa dan pinjaman pelajaran kepada anak-anak Pahang yang berjaya mendapat tempat di universiti-universiti dan institusi-institusi awam.
- Jemaah Biasiswa Pelajaran Tinggi Agama Islam Pahang yang mengendalikan pemberian biasiswa kepada anak-anak Pahang yang berjaya mendapat tempat di Universiti Al-Azhar, Mesir.
- Unit Kewangan di bawah pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri yang mengendalikan pemberian biasiswa kepada pelajar di peringkat sekolah menengah kerajaan di negeri Pahang.
Pengerusi Lembaga Pengarah YP adalah YAB Menteri Besar Pahang. YP telah diterajui oleh tiga Menteri Besar sebelum ini. Terkini, YP diterajui oleh Dato’ Sri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail selaku YAB Menteri Besar Pahang. Di bawah pentadbirannya, YP kini semakin mantap dengan pelbagai aktiviti pendidikan bukan sahaja yang dilaksanakan oleh YP malah anak-anak syarikat iaitu Universiti Kolej Yayasan Pahang (UCYP), Kolej Yayasan Pahang Advanced Skills (KYPAS), Kolej Yayasan Pahang (KYP) dan Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP). Kesemua rangkaian pendidikan ini mempunyai misi dan visi tersendiri bagi mengukuhkan lagi kedudukan YP sebagai peneraju utama industri pendidikan di Negeri Pahang.
Selaku organisasi yang bertanggungjawab terhadap pembangunan pendidikan anak-anak Pahang, YP menyediakan pakej dan akses pendidikan lengkap kepada anak-anak negerinya meliputi murid tadika, sekolah rendah, menengah, Institusi Pengajian Tinggi, masyarakat bekerja, masyarakat minoriti Orang Asli hingga warga emas.
Menelusuri masa, YP kini telah mengubah lanskap aktivitinya. Jika peringkat awal penubuhan, back to basics menjadi fokus utama bagi memastikan anak-anak Pahang tidak ketinggalan dalam mendapatkan peluang pendidikan disebabkan kedaifan ekonomi; memasuki era baharu, YP memberi keutamaan kepada peluang untuk anak-anak Pahang khususnya belia dan graduan berkembang maju dalam bidang kerjaya seperti kemahiran dan keusahawanan.