15 November, Bangkok – Yayasan Pahang (YP) sekali lagi mencipta sejarah di persada antarabangsa apabila Ketua Pegawai Eksekutifnya, YH Dato’ Indera Mahmud Mohd Nawawi dinobatkan sebagai Pemimpin Cemerlang Asia menerusi Anugerah ACES 2024.
Anugerah berprestij ini menambah satu lagi pencapaian penting dalam kerjaya Dato’ Indera Mahmud dan menjadi bukti kepimpinan luar biasanya setelah beliau dinamakan sebagai Pemimpin Paling Inspirasi di Employee Experience Awards Malaysia 2024 (EXA) pada Jun lalu.
Anugerah ACES 2024, dengan tema “Inovasi untuk Masa Depan Lestari,” memberi penghargaan kepada pemimpin yang memperlihatkan kepimpinan berwawasan dan pemikiran inovatif.
Ketika ditemubual, Dato’ Indera Mahmud berkata, budaya ‘make it happen’ menjadi asas utama kepimpinan yang dibawa di keseluruhan peringkat pengurusan di YP.
“Saya terapkan kepada Yayasan Pahang, kepada semua warga kerja YP apa yang dipanggil ‘make it happen mindset’.
“Apabila kita melakukan sesuatu, kita harus bersedia dan berdepan bahawa akan ada masalah, isu dan pelbagai cabaran. Walaupun ada pelbagai cabaran, semua kakitangan dan ketua jabatan mesti berusaha bersungguh- sungguh hingga berjaya.
“Sebab itu di Yayasan Pahang prinsipnya ‘together we make it happen’ bukan sahaja kepada Yayasan Pahang malah anak syarikatnya sekali,” katanya yang mula berkhidmat di YP sejak tahun 1992.
Dalam pada itu, ketika ditanya kekuatan kakitangan yang bermula daripada ketuanya, Dato’ Indera Mahmud menegaskan bahawa setiap kakitangan di dalam sesebuah organisasi perlu memainkan peranan masing-masing.
Jelasnya, semua kakitangan bebas menyuarakan pendapat masing-masing, dan terdapat komunikasi dua hala antara semua peringkat kakitangan, dari peringkat bawahan hingga pengurusan atasan.
“Kita telah memenangi anugerah peringkat kebangsaan dan peringkat Asia, jadi sasaran kita selepas ini adalah peringkat antarabangsa.
“Terima kasih kepada Menteri Besar Dato’ Sri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail, Ahli Lembaga Pengarah, pengurusan, warga kerja dan semua anak syarikat atas sokongan dan kepercayaan berterusan yang membawa YP ke tahap ini,” katanya.
Sementara itu, Dato’ Indera Mahmud berkata, YP telah menyusun pelan strategiknya sehingga 2028 dengan mensasarkan pendapatan diperoleh sekurang-kurangnya RM1 bilion.
Untuk rekod, YP telah menjalankan pelbagai program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) termasuk program pendidikan, biasiswa, dan projek kebajikan sosial yang telah memberi manfaat kepada lebih 1.9 juta penerima dengan implikasi kewangan RM1.6 bilion dari tahun 1983 hingga 2023.