YPPH, YPAS WAKILI PAHANG KE MIHAS, DUBAI
18 November, Dubai – Dua anak syarikat milik penuh Yayasan Pahang iaitu YP Plantation Holdings Sdn. Bhd. (YPPH) dan YP Advanced Skills (YPAS) dipilih untuk mewakili Kerajaan Negeri Pahang mempromosikan produk masing-masing di edisi antarabangsa Malaysia International Halal Showcase (MIHAS) di Dubai pada 18 hingga 20 November ini.
YPPH mempromosikan produk nanas premium dari Pahang yang terkenal dengan kualiti dan rasa yang tiada tandingan manakala YPAS mengetengahkan produk retort inovatif yang menawarkan kemudahan serta ketahanan dalam penyimpanan makanan halal berkualiti.
Acara bersejarah yang julung-julung kali dianjurkan oleh pihak MATRADE ini dirasmikan oleh YAB Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri Malaysia dan turut dihadiri oleh YAB Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, Menteri Besar Pahang yang memberi sokongan penuh terhadap usaha mempromosikan produk halal dari Pahang khasnya dan Malaysia amnya ke pasaran antarabangsa.
Sementara itu, YP penuh yakin penyertaan anak-anak syarikatnya di MIHAS@Dubai akan membuka lebih banyak peluang perniagaan dan kerjasama antarabangsa seterusnya memperkukuhkan kedudukan produk halal Malaysia di pasaran global.