twitter2

 

Tender

aaa

Draf Perjanjian Pembalakan

PERJANJIAN INI diperbuat pada haribulan 2006 di antara LEMBAGA PEMEGANG AMANAH YAYASAN PAHANG yang diberikan kuasa di bawah Enakmen YAYASAN PAHANG No. 6 Tahun 1982 yang beralamat di Kompleks Yayasan Pahang, Tanjung Lumpur, 26060 Kuantan, Pahang Darul Makmur (yang selepas ini dirujuk sebagai "YAYASAN PAHANG") di satu pihak dan ................................................................ yang beralamat di ............................................................................... (yang selepas ini dirujuk sebagai "SYARIKAT") di satu pihak yang lain.

BAHAWASANYA:-

A. YAYASAN PAHANG telah mendapat anugerah Kawasan Konsesi Kayu Balak daripada Kerajaan Negeri Pahang (selepas ini dirujuk sebagai "Pihak Berkuasa Negeri") dan kebenaran untuk mengeluarkan kayu balak (yang selepas ini dirujuk sebagai "kayu balak tersebut") di kawasan seluas lebih kurang +............ hektar (lebih kurang +............ ekar) di Hutan Simpan ........... didalam Daerah ........... (Kompartment ......) di dalam Negeri Pahang Darul Makmur (selepas ini dirujuk sebagai "Kawasan Konsesi Kayu Balak tersebut") seperti yang terdapat di dalam pelan bertanda MERAH yang dilampirkan di dalam ini dan ditanda sebagai Lampiran "A".
B. Kedua-dua pihak bersetuju bahawa YAYASAN PAHANG akan menjual dan SYARIKAT akan membeli kayu balak di dalam Kawasan Konsesi Kayu balak tersebut menurut terma-terma dan syarat-syarat yang dinyatakan di dalam ini.
C. Kedua-dua belah pihak bersetuju bahawa Perjanjian ini adalah tertakluk sentiasa kepada syarat-syarat di dalam lesen yang akan dikeluarkan oleh pihak Pejabat Perhutanan Negeri/Daerah atau apa-apa arahan undang-undang atau peraturan yang dikeluarkan atau akan dikeluarkan dari masa ke semasa oleh Pihak Berkuasa Berkenaan.
ADALAH DENGAN INI DIPERSETUJUI bahawa:-

1. Sebagai balasan kepada wang berjumlah Ringgit Malaysia .......................................................................................................

(RM............................) Sahaja yang telah dibayar oleh SYARIKAT kepada YAYASAN PAHANG (selepas ini disebut sebagai "Deposit Tender") dan penerimaannya dengan ini telah diakui oleh YAYASAN PAHANG dan sebagai sebahagian dari Bayaran Keseluruhan yang perlu dibayar oleh SYARIKAT kepada YAYASAN PAHANG berjumlah Ringgit Malaysia ................................................ (RM..................) Sahaja (selepas ini disebut sebagai "Bayaran Keseluruhan"), YAYASAN PAHANG dengan ini bersetuju menjual kayu balak yang terdapat di dalam Kawasan Konsesi Kayu Balak tersebut tertakluk kepada pematuhan SYARIKAT terhadap terma-terma, syarat-syarat dan persetujuan yang dinyatakan selepas ini di dalam Perjanjian ini.

2. Baki Bayaran Keseluruhan yang perlu dibayar oleh SYARIKAT kepada YAYASAN PAHANG adalah berjumlah Ringgit Malaysia ............................................................................. (RM...................) Sahaja (selepas ini disebut sebagai "Baki Bayaran Keseluruhan") yang merangkumi bayaran-bayaran berikut:-

Bayaran Fasa 1

(a) Harga Kawasan (Baki 80%) RM
(b) Deposit Lesen RM
(c) Yuran Proses RM
(d) Kerja-kerja Penyediaan Sempadan RM
Lesen dan Pengesahan Sempadan
Jumlah Fasa 1 RM
Bayaran Fasa 2
(e) Deposit Kerja RM
JUMLAH FASA 1 DAN 2 RM


3. Bayaran Fasa 1 dan 2 yang berjumlah Ringgit Malaysia .............................................................................. (RM..................) Sahaja hendaklah dijelaskan oleh SYARIKAT kepada YAYASAN PAHANG dengan menggunakan bank deraf atas nama ‘YAYASAN PAHANG' seperti berikut:-
(a) Bayaran-bayaran yang dinyatakan dalam Fasal 2(a), (b), (c), dan (d) yang kesemuanya berjumlah Ringgit Malaysia ................................................................................................ (RM.......................) Sahaja (selepas ini disebut sebagai "Bayaran Fasa 1") hendaklah dijelaskan dalam tempoh Tiga Puluh (30) hari dari tarikh Perjanjian ini.
(b) Bayaran-bayaran yang dinyatakan dalam Fasal 2(e) yang berjumlah Ringgit Malaysia ....................................................... (RM......................) Sahaja (selepas ini disebut sebagai "Bayaran Fasa 2") hendaklah dijelaskan oleh SYARIKAT SEBELUM lesen pembalakan ditandatangani iaitu dalam tempoh empat belas (14) hari dari tarikh notis tuntutan yang akan dikeluarkan oleh YAYASAN PAHANG menuntut Bayaran Fasa 2 tersebut. YAYASAN PAHANG hanya akan menandatangani apa-apa dokumen, suratikatan dan apa jua suratcara berhubung dengan Lesen Pembalakan selepas Bayaran Fasa 2 tersebut dijelaskan sepenuhnya oleh SYARIKAT.


4. (a) Sekiranya SYARIKAT gagal untuk menjelaskan Bayaran Fasa 1 dalam tempoh yang ditetapkan maka YAYASAN PAHANG boleh melanjutkan tempoh penjelasan Bayaran Fasa 1 tersebut selama Lima Belas (15) hari bermula dari tarikh tamat tempoh 30 hari yang ditetapkan. Sebagai balasan untuk tempoh lanjutan tersebut SYARIKAT hendaklah membayar kepada YAYASAN PAHANG faedah pada kadar Sepuluh Peratus (10%) setahun dikira atas asas harian ke atas Bayaran Fasa 1 yang belum dijelaskan sehingga tarikh penjelasan penuh Bayaran Fasa 1 tersebut.

(b) Sekiranya SYARIKAT masih gagal menjelaskan Bayaran Fasa 1 tersebut pada tarikh tamat tempoh lanjutan masa tersebut maka Perjanjian ini akan dikira tamat dan tidak berkuatkuasa lagi dan YAYASAN PAHANG berhak untuk merampas keseluruhan Deposit Tender yang telah dibayar oleh SYARIKAT kepada YAYASAN PAHANG.

(c) Selepas itu SYARIKAT tidak berhak untuk membuat apa-apa tuntutan terhadap YAYASAN PAHANG mengenai apapun yang berkaitan dengan Perjanjian ini dan YAYASAN PAHANG berhak untuk menender semula kawasan tersebut atau melupuskan Kawasan Konsesi Kayu Balak tersebut dengan harga dan kepada mana-mana pihak lain yang difikirkan patut oleh YAYASAN PAHANG mengikut budibicara mutlak YAYASAN PAHANG.

(d) Sekiranya SYARIKAT gagal untuk menjelaskan Bayaran Fasa 2 dalam tempoh yang ditetapkan maka YAYASAN PAHANG melalui budi bicara mutlaknya berhak untuk menamatkan Perjanjian ini dan merampas keseluruhan wang yang telah dibayar oleh SYARIKAT kepada YAYASAN PAHANG dan dalam keadaan sedemikian Perjanjian ini dikira tamat dan tidak berkuasa lagi dan Fasal 4(c) adalah terpakai mutatis mutandis.

 

5. Adalah diperuntukkan dengan nyata bahawa SYARIKAT menyedari bahawa jika sekiranya pihak Kerajaan atau Pihak Berkuasa Negeri atau mana-mana Pihak Berkuasa Berkenaan menaikkan cukai dan/atau premium atau levi ke atas pengeluaran dan/atau penjualan balak, maka SYARIKAT hendaklah menjelaskan apa-apa kenaikan tersebut kepada YAYASAN PAHANG dan/atau Pihak Kerajaan atau Pihak Berkuasa Negeri atau mana-mana Pihak Berkuasa Berkenaan dalam masa Tujuh (7) hari dari tarikh notis yang dikeluarkan oleh YAYASAN PAHANG atau Pihak Kerajaan atau pihak Berkuasa Negeri atau mana-mana Pihak Berkuasa Berkenaan mengenai kenaikan tersebut mengikut mana yang berkenaan dan jika SYARIKAT gagal berbuat demikian maka YAYASAN PAHANG berhak untuk membatalkan Perjanjian ini mengikut Fasal 16 Perjanjian ini.

 

6. Sekiranya penganugerahan Kawasan Konsesi Kayu Balak tersebut dibatalkan atau ditarik balik oleh Pihak Berkuasa Negeri atau mana-mana Pihak Berkuasa Berkenaan, maka Perjanjian ini akan dianggap terbatal dengan sendirinya dan SYARIKAT tidak boleh membuat apa-apa tuntutan terhadap YAYASAN PAHANG melainkan atau kecuali jika dituntut secara notis bertulis YAYASAN PAHANG hendaklah mengembalikan semua wang yang telah dibayar oleh SYARIKAT kepada YAYASAN PAHANG tanpa sebarang faedah dalam tempoh yang munasabah yang akan dipersetujui oleh kedua-dua pihak.

 

7. Kedua-dua belah pihak dengan ini bersetuju bahawa pengiraan harga kayu balak bagi Kawasan Konsesi Kayu Balak tersebut juga akan dikira berdasarkan apa jua premium, yuran atau pembayaran yang dikenakan oleh Pihak Berkuasa Negeri atau Pihak Berkuasa Berkenaan berhubung dengan penganugerahan Kawasan Konsesi Kayu Balak tersebut.

 

8. (a) Tanpa menyentuh apa-apa peruntukan di dalam Perjanjian ini SEKIRANYA terdapat pertambahan keluasan kawasan yang ditender dengan keluasan kawasan yang disahkan oleh Pihak Berkuasa Berkenaan maka YAYASAN PAHANG akan membuat pindaan keluasan kepada pelan mengikut keluasan yang ditender.

(b) SEKIRANYA terdapat kekurangan keluasan kawasan yang ditender dengan keluasan kawasan yang disahkan oleh Pihak Berkuasa Berkenaan, pihak YAYASAN PAHANG tidak akan mengganti kekurangan keluasan kawasan tersebut dan YAYASAN PAHANG tidak akan memulangkan wang yang telah dibayar kepada YAYASAN PAHANG.

 

9. SYARIKAT dengan ini mengaku dan mengisytiharkan seperti berikut:-

(a) SYARIKAT telah membuat pemeriksaan dan pemerhatian di Kawasan Konsesi Kayu Balak tersebut dan berpuashati dengan isi hutan, jalan masuk, kontor, faktor mukabumi dan lain-lain keadaan di Kawasan Konsesi Kayu Balak tersebut dan SYARIKAT dengan itu tidak berhak untuk menamatkan Perjanjian ini atau menuntut apa-apa gantirugi, pampasan atau pengurangan harga kawasan terhadap YAYASAN PAHANG sekiranya terdapat kekurangan atau kecacatan di dalam kawasan tersebut.

(b) Sewaktu pemilihan permerhatian dan pemeriksaan dijalankan di Kawasan Konsesi Kayu Balak tersebut, SYARIKAT telah memerhati semua faktor mukabumi yang mungkin melibatkan kos pembalakan yang akan ditanggung oleh SYARIKAT. SYARIKAT juga telah mengambil perhatian dari segi pengiraan isi hutan bagi Kawasan Konsesi Kayu Balak tersebut mengenai adanya kawasan mampan (buffer zone) di sepanjang sungai dan anak sungai (jika ada). Oleh yang demikian kayu-kayu balak yang terdapat di kawasan mampan (buffer zone) tersebut tidak boleh ditebang, dikeluarkan atau dibalak.

(c) Kawasan Konsesi Kayu Balak tersebut yang ditender samada mempunyai isi hutan yang baik atau sebaliknya atau melibatkan kawasan paya, bekas lombong, kawasan yang telah dicerobohi (jika ada) tidak boleh ditukar ganti. Sebarang permohonan atau rayuan untuk menukar ganti Kawasan Konsesi Kayu Balak tersebut tidak akan dilayan.

(d) SYARIKAT hendaklah dikira berpuashati dengan keadaan yang ada sekarang berhubung dengan jalan raya, jalan keretapi atau lain-lain cara pengangkutan (jika ada) yang telah sedia ada di dalam Kawasan Konsesi Kayu Balak tersebut dan kemudahan yang ada, kontor, risiko terhadap kecederaan atau pun kerugian harta benda yang berhampiran atau pun kepada penghuni di dalam harta benda tersebut atau kepada cara mana kerja-kerja akan dijalankan, keadaan yang akan melibatkan buruh, kemudahan untuk mendapatkan bahan-bahan dan seterusnya terhadap semua perkara yang akan mempengaruhi faktor serta tujuan mereka.



10. SYARIKAT dengan ini berwaad dan berjanji untuk menangggung di atas kos dan perbelanjaan sendiri berhubung dengan perkara-perkara tersebut:-

(a) untuk menebang, mengalih dan mengeluarkan kayu balak dari Kawasan Konsesi Kayu Balak tersebut dalam tempoh masa yang ditetapkan di dalam lessen membalak yang dikeluarkan;

(b) untuk melepaskan YAYASAN PAHANG dari sebarang liabiliti atau tanggungan dan menanggungrugi YAYASAN PAHANG terhadap apa-apa tuntutan pihak ketiga yang mungkin timbul berhubung dengan penebangan, pengalihan dan pengeluaran kayu balak tersebut dan dari sebarang kegagalan untuk mematuhi apa-apa syarat yang telah ditetapkan oleh Pihak Berkuasa Negeri atau Pejabat Perhutanan Negeri atau Pihak Berkuasa Berkenaan;

(c) untuk menyediakan pelan bagi jalan balak atau matau serta apa-apa butiran yang dikehendaki oleh Pihak Berkuasa Berkenaan dan hendaklah pada sepanjang masa mematuhi pelan-pelan yang diluluskan oleh Pihak Berkuasa Berkenaan berserta syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh Pihak Berkuasa Berkenaan.

(d) untuk membiayai kos dan pembayaran bagi mendapatkan permit jalan utama sehingga ke kawasan kerja yang mana permit tersebut akan dipohon oleh YAYASAN PAHANG bagi pihak SYARIKAT dan SYARIKAT juga hendaklah melaksanakan kerja-kerja mengawas selia dan membaik pulih jambatan serta menanggung segala kos dan pembayaran bagi tujuan tersebut;

(e) untuk menyediakan laporan penutupan operasi pembalakan dan pengeluaran kayu balak dari Kawasan Konsesi Kayu Balak tersebut setelah semua kerja-kerja tersebut selesai dan memajukannya kepada YAYASAN PAHANG.

(f) untuk membayar kepada Pihak Berkuasa Negeri ataupun Pejabat Perhutanan Negeri atau Pihak Berkuasa Berkenaan apa jua bayaran royalti/cukai/apa-apa bayaran lain yang dikenakan berhubung dengan penebangan dan pengeluaran kayu balak di dalam Kawasan Konsesi Kayu Balak tersebut termasuk apa-apa bayaran yang berkaitan dengan Perjanjian ini tidak kira samada kayu balak tersebut telahpun dikeluarkan ataupun  tidak. SYARIKAT juga hendaklah membayar dan menjelaskan semua jumlah tunggakan royalti yang dikenakan kelak.

(g) untuk menyediakan sendiri apa-apa mesin, alat, kenderaan ataupun jentera bagi kerja-kerja, penebangan, pengalihan ataupun pengeluaran berhubungan dengan Kawasan Konsesi Kayu Balak tersebut, SYARIKAT juga hendaklah memastikan bahawa mesin, alat, kenderaan atau jentera yang digunakan tersebut mempunyai lesen atau permit (sekiranya diperlukan) sebagaimana peruntukan mana-mana Akta, Enakmen, Statut ataupun Undang-Undang Kecil yang berkuatkuasa dan SYARIKAT akan melepaskan dan menanggungrugi YAYASAN PAHANG dari sebarang denda, hukum, penalti ataupun apa jua tuntutan yang dikenakan oleh Pihak Berkuasa Berkenaan berhubung dengan kegagalan atau ketidakpatuhan terhadap mana-mana peruntukan berhubung dengan penggunaan mesin, alat, kenderaan ataupun jentera-jentera tersebut.

(h) di sepanjang Perjanjian ini berkuatkuasa untuk memastikan perlindungan melalui polisi ataupun polisi-polisi insuran, segala liabiliti (tanggungan) untuk membayar sebarang saguhati ataupun gantirugi kepada pekerja-pekerja yang digaji dalam menjalankan kerja-kerja penebangan dan pengeluaran kayu balak terhadap waris-waris mereka berhubung dengan kemalangan ataupun kecelakaan ke atas pekerja-pekerja tersebut dalam melaksanakan tugas ataupun kerja mereka (ini the course of their employment) di bawah sebarang peruntukan undang-undang ataupun di bawah Common Law untuk apa jua gantirugi terhadap harta benda atau nyawa atau kecederaan ketika kerja-kerja penebangan, pengalihan dan pengeluaran kayu balak tersebut.

|(i) untuk membayar apa jua denda, penalti ataupun tuntutan yang dikenakan oleh Pihak Berkuasa Negeri ataupun mana-mana Pihak Berkuasa Berkenaan sekiranya SYARIKAT, wakil dan/atau agen dan/atau pekerja mereka didapati melanggar apa-apa syarat ataupun peruntukan yang dikenakan oleh Pihak Berkuasa Berkenaan berhubung dengan operasi pembalakan tersebut dan dalam melaksanakan kerja-kerja mengeluarkan Kayu Balak tersebut dan bersetuju untuk melepaskan dan menanggungrugi YAYASAN PAHANG ataupun wakil mereka daripada tuntutan tersebut. 


TANPA MENYENTUH PERUNTUKAN di atas sekiranya SYARIKAT di denda oleh mana-mana Pihak Berkuasa Berkenaan dengan jumlah wang yang tertentu maka SYARIKAT hendaklah membayar kepada YAYASAN PAHANG bayaran sebanyak Tiga (3) kali ganda jumlah denda yang dikenakan oleh Pihak Berkuasa Berkenaan berkaitan dengan perlanggaran tersebut dan hendaklah dibayar kepada YAYASAN PAHANG dalam tempoh Tujuh (7) hari dari tarikh tuntutan oleh YAYASAN PAHANG.

(j) untuk mengadakan langkah-langkah perlu untuk mengelakkan dan untuk tidak membenarkan atau membiarkan perkara-perkara berikut:-
(i) menjalankan operasi pembalakan di luar Kawasan Konsesi Kayu Balak tersebut; atau
(ii) menebang/mengeluarkan kayu balak yang tidak dibenarkan oleh Pihak Pejabat Perhutaan Negeri ataupun mana-mana Pihak Berkuasa Berkenaan; atau
(iii) mencuri/mengambil secara haram kayu balak diluar Kawasan Konsesi Kayu Balak tersebut;
dan jika sekiranya SYARIKAT melanggar syarat-syarat tersebut, SYARIKAT hendaklah bertanggungan terhadap gantirugi dan terhadap kecurian kayu balak di luar Kawasan Konsesi Kayu Balak tersebut ataupun penebangan/pengeluaran kayu balak yang tidak dibenarkan dan SYARIKAT juga hendaklah melepaskan dan menanggungrugi YAYASAN PAHANG dari segala denda, penalti, prosiding, tindakan, tuntutan dan liabiliti tersebut.

(k) untuk menanggung dan membayar kesemua kos serta perbelanjaan konsultan yang dilantik oleh YAYASAN PAHANG bagi memantau dan mengawal selia kerja-kerja penyediaan jalan balak atau matau dan penebangan pokok serta pengeluaran kayu dari kawasan konsesi balak tersebut.

(l) untuk menanggung dan membayar kesemua kos serta perbelanjaan yang dikenakan oleh Pihak Berkuasa Negeri ataupun pihak Pejabat Perhutanan Negeri ataupun mana-mana Pihak Berkuasa Berkenaan berhubung dengan penganugerahan Kawasan Konsesi Kayu Balak tersebut.

(m) SYARIKAT dengan ini bersetuju dan mengakui bahawa SYARIKAT akan sentiasa mematuhi apa-apa arahan, peraturan dan/atau undang-undang yang akan dikeluarkan oleh YAYASAN PAHANG atau Pihak Berkuasa Berkenaan dari masa ke semasa berhubung dengan apa-apa perkara yang berkaitan dengan kerja-kerja pembalakan atau apa-apa peruntukan yang dinyatakan di dalam Perjanjian ini dari masa ke semasa.


11. YAYASAN PAHANG dengan ini berwaad dan berjanji dengan SYARIKAT, di atas kos dan perbelanjaan SYARIKAT sendiri untuk:-

(a) Menandatangani apa-apa dokumen, suratikatan dan apa jua suratcara berhubung dengan lesen pembalakan ataupun sub-lesen kepada SYARIKAT dan melantik SYARIKAT sebagai kontraktor penebangan bagi Kawasan Konsesi Kayu Balak tersebut tertakluk sentiasa kepada Fasal 3(b) Perjanjian ini.

(b) untuk membantu SYARIKAT mendapatkan sebarang jalan masuk (access road) untuk kegunaan SYARIKAT sekiranya SYARIKAT tidak boleh mendapatkan mana-mana laluan masuk atau keluar dari Kawasan Konsesi Kayu Balak tersebut dengan kos dan perbelanjaan yang ditanggung sepenuhnya oleh PIHAK SYARIKAT.

12. Kedua-dua pihak dengan ini bersetuju bahawa:-

(a) Harga yang telah ditetapkan tersebut adalah bagi kesemua dan apa jua jenis (species) kayu balak yang berada di dalam Kawasan Konsesi Kayu Balak tersebut serta yang dibenarkan untuk dibawa keluar dari Kawasan Konsesi Balak tersebut dan mana-mana pihak tidak boleh membuat tuntutan kepada pihak satu lagi berhubung dengan jumlah, serta kualiti, terhadap berat (tonnage) dan/atau jenis-jenisnya (species) yang dibenarkan untuk ditebang dan/atau dibawa keluar dari Kawasan Konsesi Kayu balak tersebut.

TANPA MENYENTUH mana-mana peruntukkan di dalam Perjanjian ini, adalah di dalam pengetahuan pihak-pihak bahawa had pengeluaran balak tidak melebihi 15 tan seekar (67m3) sepertimana spesifikasi "Malaysian Criteria & Indicator". Adalah dipersetujui bahawa bagi pengeluaran yang tidak mencapai 15 tan seekar (67m3), YAYASAN PAHANG tidak akan bertanggungjawab dan kawasan ganti tidak akan dilayan. Sekiranya SYARIKAT mengeluarkan kayu balak lebih daripada had pengeluaran seperti yang dinyatakan di atas, maka SYARIKAT akan membayar kepada YAYASAN PAHANG bayaran tambahan secara pukal sebanyak RM200.00 bagi setiap tan.

(b) SYARIKAT hendaklah memulakan kerja-kerja pembalakan di Kawasan Konsesi Kayu Balak tersebut dalam tempoh Empat Belas (14) hari dari tarikh penerimaan lesen pembalakan dari YAYASAN PAHANG atau Pejabat Perhutanan Negeri Pahang dan kerja-kerja tersebut hendaklah diselesaikan di dalam tempoh satu (1) tahun seperti yang dinyatakan didalam lesen pembalakan tersebut. Sekiranya SYARIKAT gagal menyiapkan dan menyelesaikan kerja-kerja tersebut dalam tempoh yang ditetapkan tanpa apa-apa sebab yang munasabah menurut arahan atau peraturan yang dinyatakan oleh YAYASAN PAHANG maka YAYASAN PAHANG tidak akan bertanggungjawab untuk memohon bagi memperbaharui lesen pembalakan dari Pejabat Perhutanan Negeri Pahang bagi SYARIKAT.

(c ) sekiranya YAYASAN PAHANG mengambil keputusan untuk menandatangani apa jua dokumen, suratcara ataupun suratikatan berhubung dengan permohonan perlanjutan masa ataupun pembaharuan mana-mana permit ataupun lesen sebagaimana yang diperlukan oleh mana-mana Pihak Berkuasa Negeri bagi SYARIKAT dan jika sekiranya perlanjutan masa ataupun pembaharuan tersebut tidak dapat diperolehi maka YAYASAN PAHANG tidaklah boleh dipertanggungjawabkan bagi penolakan tersebut.

(d) SYARIKAT hendaklah mempunyai hak mutlak serta kebebasan untuk menjual kayu balak tersebut kepada mana-mana pihak menurut syarat-syarat serta terma-terma yang akan diputuskan oleh SYARIKAT menurut budibicara SYARIKAT dan YAYASAN PAHANG tidak boleh mencampuri urusan jual beli tersebut tetapi SYARIKAT hendaklah melepaskan/menanggungrugi (indemnify) YAYASAN PAHANG terhadap apa jua liabiliti berhubung dengan penjualan tersebut, dan ianya tidaklah melepaskan SYARIKAT dari mematuhi apa-apa tanggungan, tanggungjawab atau apa-apa obligasi SYARIKAT sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Perjanjian ini.


13. (a) YAYASAN PAHANG berhak untuk membuat potongan-potongan berikut dari Deposit Kerja yang dibayar oleh SYARIKAT:-

(i) apa-apa bayaran yang berkaitan dengan Perjanjian ini yang perlu dibayar dan/atau yang dikenakan terhadap SYARIKAT termasuklah bayaran bagi Penyata Penutupan Kerja dan sebagainya;
(ii) bayaran bagi setiap penggunaan helikopter tersebut berkaitan dengan Kawasan Konsesi Kayu Balak tersebut; dan
(iii) bayaran melaksanakan kerja-kerja tanam semula di dalam Kawasan Konsesi Balak tersebut.

(b) YAYASAN PAHANG berhak untuk menuntut bayaran tambahan daripada SYARIKAT sekiranya bayaran-bayaran yang dinyatakan di dalam Fasal 13(a)(i), (ii) dan (iii) Perjanjian ini melebihi dari wang deposit kerja.

(c) YAYASAN PAHANG mempunyai budi bicara untuk mendahulukan bayaran tambahan dan bayaran tambahan yang didahulukan  oleh YAYASAN PAHANG tersebut adalah dikira sebagai terhutang oleh SYARIKAT kepada YAYASAN PAHANG dan haruslah dibayar dalam tempoh 14 hari dari tarikh surat tuntutan YAYASAN PAHANG.

(d) Sekiranya SYARIKAT gagal menjelaskan bayaran tambahan yang dituntut oleh YAYASAN PAHANG dalam tempoh 14 hari tersebut, maka SYARIKAT hendaklah menjelaskan bayaran tambahan tersebut berserta faedah pada kadar 10% setahun dikira atas kiraan harian ke atas baki bayaran tambahan yang belum dijelaskan dikira dari tarikh tamat tempoh 14 hari dari tarikh surat tuntutan sehingga tarikh penjelasan penuh baki bayaran tambahan.


14. Deposit Kerja dan Deposit Lesen akan dipulangkan kepada SYARIKAT setelah potongan-potongan yang dinyatakan dalam Fasal 13 Perjanjian ini dibuat tanpa sebarang faedah, tertakluk sentiasa kepada syarat-syarat berikut:-

(a) Laporan Penyata Penutupan Kerja telah dikeluarkan oleh Pihak Berkuasa Berkenaan;

(b) Wang Deposit - deposit tersebut telah dikembalikan oleh Pihak Berkuasa Berkenaan kepada YAYASAN PAHANG; dan

(c) SYARIKAT hendaklah menuntut Deposit-Deposit tersebut secara bertulis dalam masa Tiga (3) bulan dari tarikh Laporan Penyata Penutupan Kerja dikeluarkan.
Sekiranya SYARIKAT gagal membuat tuntutan tersebut di dalam tempoh yang ditetapkan maka Deposit-Deposit tersebut akan dianggap hangus dan dilupuskan oleh YAYASAN PAHANG dan SYARIKAT adalah tidak berhak untuk menuntut apa-apa lagi daripada YAYASAN PAHANG selepas tempoh tersebut.

 

15. Jika sekiranya Laporan Penyata Penutupan Kerja yang telah disediakan oleh SYARIKAT dan dimajukan kepada YAYASAN PAHANG, setelah disemak dan diselidiki oleh YAYASAN PAHANG didapati ianya tidak benar atau dibuat secara palsu atau melalui keterangan palsu, maka SYARIKAT hendaklah bertanggungjawab ke atas Laporan tersebut dan hendaklah membayar gantirugi khas kepada YAYASAN PAHANG iaitu jumlah wang yang bersamaan dengan jumlah Deposit Kerja yang dinyatakan di dalam Fasal 2(e) Perjanjian ini dan gantirugi khas ini hendaklah dibayar dalam masa Tujuh (7) hari dari tarikh notis yang akan dikeluarkan oleh YAYASAN PAHANG menuntut gantirugi khas tersebut.

16. (a) Sekiranya SYARIKAT:-
(i) gagal, enggan dan/atau abai untuk membayar apa jua denda, penalti, kompaun, tuntutan ataupun apa jua tanggungan atau untuk melepaskan (indemnify) YAYASAN PAHANG berhubung dengan Perjanjian ini; atau
(ii) gagal, enggan dan/atau abai untuk membuat mana-mana bayaran seperti yang dinyatakan di dalam Perjanjian ini dalam masa yang telah ditetapkan; atau
(iii) tindakan kebankrapan di ambil terhadap mana-mana Pengarah SYARIKAT ataupun jika SYARIKAT adalah sebuah perniagaan atau perkongsian tindakan kebankrapan di ambil terhadap mana-mana pemilik perniagaan itu atau mana-mana rakan kongsi perniagaan atau tindakan penggulungan syarikat di ambil terhadap SYARIKAT termasuklah diperingkat petisyen; atau

(iv) gagal untuk menjelaskan Bayaran Keseluruhan menurut syarat yang diperuntukkan di dalam Fasal 3 dan Fasal 4(a) Perjanjian ini; atau

(v) gagal atau enggan mematuhi apa-apa arahan atau peraturan yang dikeluarkan oleh YAYASAN PAHANG atau Pihak Berkuasa Berkenaan terhadap SYARIKAT dari masa ke semasa; atau

(vi) gagal atau enggan atau engkar untuk mematuhi mana-mana atau salah satu dari syarat-syarat yang diperuntukkan di dalam Perjanjian ini;

MAKA YAYASAN PAHANG berhak untuk menamatkan Perjanjian ini dan boleh melupuskan apa-apa wang yang telah dibayar oleh SYARIKAT kepada YAYASAN PAHANG di bawah Perjanjian ini dengan memberikan satu Notis bertulis kepada SYARIKAT berkenaan dengan penamatan Pejanjian ini dan perlupusan wang tersebut.

(b) Jika penamatan menurut peruntukan di atas dibuat, maka SYARIKAT tidak berhak untuk mendapatkan balik apa jua deposit, wang pendahuluan ataupun pembayaran yang telah dibuat ataupun didahulukan kepada YAYASAN PAHANG sebelum penamatan tersebut DAN SYARIKAT hendaklah secara aman menyerahkan kembali Kawasan Konsesi Kayu Balak tersebut kepada YAYASAN PAHANG.

(c) Selepas penamatan Perjanjian ini YAYASAN PAHANG berhak untuk melupuskan Kawasan Konsesi Kayu Balak tersebut kepada mana-mana pihak mengikut apa-apa terma dan syarat-syarat yang difikirkan wajar menurut budibicara mutlak YAYASAN PAHANG dan SYARIKAT tidak mempunyai apa-apa hak untuk membuat apa-apa tuntutan terhadap YAYASAN PAHANG.

 

17. (a) Tanpa menjejaskan hak YAYASAN PAHANG untuk menamatkan Perjanjian ini menurut peruntukan di bawah Fasal 16 Perjanjian ini, YAYASAN PAHANG di atasi budibicara mutlaknya berhak untuk melanjutkan tempoh masa bagi SYARIKAT menjelaskan Bayaran Fasa 2 yang dinyatakan dalam Fasal 3(b) Perjanjian ini dan bayaran denda yang dinyatakan didalam Fasal 10(i) dan Fasal 15 Perjanjian ini selama tempoh Empat Belas (14) hari yang akan bermula dari tarikh tamat tempoh notis di dalam Fasal 4(b), Fasal 10(i) dan Fasal 15 tersebut.

(b) Sebagai balasan untuk tempoh lanjutan tersebut SYARIKAT hendaklah membayar kepada YAYASAN PAHANG faedah pada kadar Sepuluh Peratus (10%) setahun dikira atas asas harian ke atas bayaran-bayaran tersebut yang belum dijelaskan sehingga tarikh penjelasan penuh bayaran-bayaran tersebut;

(c) Sekiranya SYARIKAT masih gagal menjelaskan bayaran tersebut pada tarikh tamat tempoh lanjutan masa tersebut maka YAYASAN PAHANG berhak di atas budibicara mutlaknya menamatkan Perjanjian ini dan melupuskan mana-mana wang yang telah dibayar oleh SYARIKAT dengan memberikan satu Notis bertulis kepada SYARIKAT berkenaan dengan penamatan Perjanjian ini dan pelupusan wang tersebut dan Fasal 16(c) akan berkuatkuasa mutatis mutandis.

18. (a) Apa-apa Notis bertulis yang perlu diserahkan oleh mana-mana pihak kepada pihak yang satu lagi menurut apa-apa peruntukan di dalam Perjanjian ini hendaklah dihantar ke alamat terakhir yang diketahui pihak yang lagi satu dengan pos berdaftar ataupun ditinggalkan di alamat terakhir tersebut dengan tangan.

(b) Notis yang dihantar dianggap telah diserahkan atau berkuatkuasa pada masa:-
(i) Jika dihantar melalui surat pos berdaftar, pada masa bila surat berdaftar itu boleh disampaikan mengikut perjalanan biasa pos; atau
(ii) jika diberi oleh satu pihak kepada pihak yang satu lagi dengan tangan.
(c) Apa jua pertukaran alamat oleh mana-mana satu pihak hendaklah diberitahu kepada pihak yang satu lagi.


19. Segala kos dan perbelanjaan berhubung dengan penyediaan serta penyempurnaan Perjanjian ini termasuk bayaran setem dan bayaran guaman akan ditanggung serta dibayar serta merta kepada Peguamcara yang menyediakan Perjanjian ini oleh SYARIKAT.


20. Masa hendaklah menjadi pati penting kontrak berhubung dengan segala peruntukan di dalam Perjanjian ini.

 

21. Perjanjian ini akan mengikat mana-mana waris, wakil-wakil, Pentadbir, pengganti serta penerima serahak pada kedua-dua pihak Perjanjian ini.


22. Segala cukai yang dikenakan berhubung dengan Perjanjian ini akan ditanggung serta dijelaskan sepenuhnya oleh SYARIKAT.


23. Jika berlaku sebarang pertelingkahan di antara kedua-dua belah pihak berkaitan dengan Perjanjian ini yang mana persetujuan tidak dapat dicapai dengan apa jua cara sekalipun, maka perkara tersebut hendaklah dirujuk kepada Timbangtara yang dipersetujui menurut Akta Timbangtara (Arbitration Act) 1992.

 

24. Perkataan Pihak Berkuasa Berkenaan yang terdapat di dalam Perjanjian ini hendaklah ditafsir dan diertikan sebagai mana-mana Pihak Pejabat Hutan Daerah atau Pejabat Perhutanan Negeri Pahang atau Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri atau mana-mana pihak berkuasa termasuklah pihak Kerajaan yang mempunyai kuasa untuk memutuskan atau menentukan apa-apa peraturan, arahan-arahan atau keputusan berkaitan dengan kerja-kerja pembalakan di dalam Kawasan Konsesi Kayu Balak tersebut termasuklah segala urusan yang berhubung dengan Perjanjian ini.


25. Sekiranya mana-mana satu atau lebih syarat, waad atau peruntukan dalam Perjanjian ini di atas apa-apa sebab sekalipun diputuskan sebagai tidak sah, menyalahi undang-undang atau tidak boleh dikuatkuasakan di bawah undang-undang yang mempunyai bidangkuasa ke atas Perjanjian ini atau perlaksanaannya, maka keputusan itu tidak akan membabitkan syarat-syarat, waad-waad atau peruntukan-peruntukan lain dalam Perjanjian ini dan Perjanjian ini akan ditafsirkan seolah-olah syarat, waad atau peruntukan yang diputuskan tidak sah, menyalahi undang-undang atau tidak boleh dikuatkuasakan itu tidak pernah terkandung di dalam Perjanjian ini dan mana-mana syarat, waad atau peruntukan lain yang terdapat di dalam Perjanjian ini adalah masih terpakai dan berkuatkuasa.


26. SYARIKAT dengan ini bersetuju akan menggantirugi dan sentiasa menggantirugi YAYASAN PAHANG dari segala tuntutan, tindakan, prosiding atau apa-apa bentuk tuntutan yang dibuat oleh mana-mana pihak terhadap YAYASAN PAHANG berkaitan dengan Perjanjian ini.


27. Tiada apa-apa peruntukan samada secara nyata atau tersirat yang diperuntukkan di dalam Perjanjian ini yang boleh dianggap mewujudkan perjanjian rakan kongsi atau menimbulkan hubungan prinsipal dan agen di antara YAYASAN PAHANG dan SYARIKAT.


28. Kedua-dua pihak bersetuju bahawa Perjanjian ini mula berkuatkuasa pada tarikh seperti yang dinyatakan dalam Mukadimah Perjanjian ini tanpa menghiraukan tarikh berbeza di mana kedua-dua pihak telah menandatangani Perjanjian ini.


29. Pengetahuan atau akuiesens oleh mana-mana pihak di sini berkaitan atau di dalam apa-apa perlanggaran mana-mana syarat, waad atau peruntukan di dalam Perjanjian ini tidak menjadi atau tidak dikira sebagai satu pengenepian syarat-syarat, waad-waad atau peruntukan-peruntukan atau mana-mana di antaranya dan tanpa menghiraukan pengetahuan atau akuisens tersebut tiap-tiap pihak disini berhak untuk menguatkuasakan hak-haknya di bawah Perjanjian ini dan memerlukan pematuhannya secara mutlak oleh pihak yang satu lagi terhadap syarat-syarat, waad-waad dan peruntukan-peruntukan Perjanjian ini.


30. Perjanjian ini tertakluk kepada undang-undang negara Malaysia.


31. Segala terma-terma dan syarat-syarat yang dinyatakan dalam Kenyataan tawaran tender (selepas in disebut sebagai "Kenyataan Tawaran Tender") yang dilampirkan didalam ini dan ditanda sebagai Lampiran "B" dan surat tawaran bertarikh 17hb Ogos, 2005 (selepas ini disebut sebagai "Surat Tawaran") yang dilampirkan didalam ini dan ditanda sebagai Lampiran "C" termasuk semua ubahan, tambahan atau pindaan-pindaan yang dibuat ke atas Surat Tawaran tersebut hendaklah diambil dibaca dan ditafsirkan sebagai sebahagian dari Perjanjian ini dan jika terdapat apa-apa percanggahan di antara terma-terma dan syarat-syarat didalam Surat Tawaran dan Perjanjian, maka terma-terma dan syarat-syarat di dalam Perjanjian ini terpakai.


32. Dalam Perjanjian ini jika konteksnya mengkehendaki sedemikian:-

(a) perkataan-perkataan yang membawa erti gender maskulin hendaklah dianggap dan dikira termasuk gender feminine dan neuter dan bilangan tunggal termasuklah bilangan banyak dan sebaliknya;
(b) Segala rujukan kepada Lampiran, Fasal, Sub-fasal dan Perenggan adalah rujukan kepada Lampiran, Fasal, Sub-fasal dan Perenggan yang terkandung di dalam Perjanjian ini.
(c) Segala rujukan kepada mana-mana dokumen dianggap meliputi rujukan kepada dokumen tersebut yang telah diubah, dipinda atau diganti dari masa ke semasa.
(d) Segala rujukan kepada peruntukan mana-mana perundangan dianggap meliputi rujukan kepada pindaan statutori dan enakmen semula perundangan tersebut.
(e) Segala Lampiran kepada Perjanjian ini akan diambil kira, dibaca dan ditaksirkan sebagai sebahagian Perjanjian ini.
(f) Perkataan yang digunakan untuk orang sebenar meliputi mana-mana pertubuhan, syarikat, perbadanan, firma atau rakan kongsi, samada yang diperbadankan atau tidak dan vice versa.
(g) Segala rujukan kepada "hari bekerja" bermaksud hari di mana YAYASAN PAHANG buka kepada orang ramai untuk berurusan.
(h) Satu tempoh hari dari terjadinya sesuatu perkara akan dianggap meliputi hari berlakunya perkara itu atau perkara ini dilakukan dan jika hari terakhir tempoh itu adalah hari minggu atau cuti umum (selepas ini disebut sebagai "hari yang dikecualikan") maka tempoh hari ini akan meliputi hari selepas hari yang dikecualikan tersebut yang juga bukan hari yang dikecualikan.



PADA MENYAKSIKAN PERKARA DI ATAS, kedua-dua pihak kepada Perjanjian ini telah menurunkan tandatangan dan meteri mereka pada hari dan tahun yang tertera di atas.


Ditandatangani dan dimeterai                      )

oleh LEMBAGA PEMEGANG )

AMANAH YAYASAN PAHANG )

di hadapan                                                    :- )

...............................................
AHLI LEMBAGA
...............................................
AHLI LEMBAGA

Ditandatangani oleh                                   )
)
untuk dan bagi pihak SYARIKAT )
dihadapan                                                 : -)     ..............................................

 

 

 

Pelaburan

Bahagian ini bertanggungjawab terhadap pelaburan, pembangunan projek, perhutanan dan perladangan yang membabitkan Yayasan Pahang dan anak-anak syarikatnya. Melaksanakan pemantauan, penyelarasan dan penilaian prestasi anak-anak syarikat Yayasan Pahang selain melaksanakan tadbir urus korporat selaras dengan pembangunan sektor awam terutamanya dalam bidang pelaburan dan teknologi maklumat juga adalah tugas utama bahagian ini. Selain itu adalah menjadi tanggungjawab bahagian ini untuk mengawal dan memastikan YP Plantation Holdings Sdn. Bhd, anak syarikat yang terlibat dalam perladangan kelapa sawit, menjana pendapatan yang mencukupi, stabil dan berterusan untuk dimanfaatkan kepada aktiviti bantuan pendidikan dan kebajikan Yayasan Pahang. Perhutanan dan aktiviti pembalakan juga menjadi agenda utama bahagian ini. Selain mengenalpasti kawasan-kawasan yang berpotensi untuk diusahakan, bahagian pelaburan juga bertanggungjawab memastikan kawasan yang telah diteroka, dipulihara, dirawat dan ditanam semula. Tindakan ini penting bagi memastikan sumber hutan dan alam semulajadi dikekalkan sebagai warisan yang amat berharga untuk generasi masa hadapan.

Anak Syarikat

Bank Pembayaran Online

cimbcliksmaybankposonline

 

Hiperangkai

mygovernmentkptmjpamscmampu2mylineportal diraja fgic           


Pautan Pantas

Perkhidmatan Atas Talian

sispenhrmis semakan laporanmampan bkmb1BSM1 perhatiBSR

qrcodenew1